Thursday 17 November 2011

SYAHADAH






Ungkapan Syahadah “Asyhadu anna Muhammadar Rasulullah” ini selalu didengari, baik ketika solat mahupun di corong pembesar suara masjid saat azan dan iqamat dikumandangkan. Namun, ada perkara yang kita perlu ketahui supaya syahadah itu direalisasikan dalam kehidupan sehari-hari.


Ulama menggariskan beberapa syarat perlu dilengkapkan dalam merealisasikan syahadah (persaksian) akan Nabi Muhammad SAW sebagai pesuruh ALLAH, antaranya syarat pertama beriman kepada kerasulan Nabi SAW. Ini seperti dalam peristiwa Malaikat Jibrail bertanya kepada Nabi SAW mengenai rukun Iman, lalu Nabi SAW menjawab, “Engkau beriman kepada ALLAH, beriman kepada Rasul-NYA, Malaikat-NYA, Kitab-NYA, Hari Akhir dan takdir yang baik mahupun buruk”. (HR Muslim)


Jadi, kalimat ini akan terealisasi apabila kita beriman dengan pelantikan Muhammad bin Abdullah sebagai Nabi dan utusan (rasul) ALLAH, bersamaan dengan itu beriman kepada mukjizat yang diberikan ALLAH kepada Nabi SAW. Kemudian membenarkan apa yang datang daripada Nabi SAW, baik perkataannya (hadis), taqrir (ikrar dan persetujuan) serta amalan baginda yang membentuk syariat.


Iman dari segi bahasa sebagaimana dinyatakan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah (w.728) ialah; “Iman itu adalah berikrar”. Menurut Ibnu Taimiyah rahimahullah, makna ikrar adalah yang paling tepat berbanding makna at-tashdiq (membenarkan).


Abu Bakar as-Siddiq orang paling membenarkan segala perbuatan Nabi SAW. Kisah beliau yang masyhur ialah ketika berlaku peristiwa Nabi SAW israk dan mikraj. Beliau menerimanya secara total (keseluruhan) tanpa ragu.


Syarat kedua, cinta kepada baginda SAW. Dalilnya, Nabi SAW bersabda, “Tidak sempurna Iman seseorang sehinggalah dia mencintai aku melebihi orang tuanya, anak-anaknya dan manusia seluruhnya.” (HR Bukhari dari sahabat Anas)


Asbabul wurud (sebab turun) hadis ini adalah semasa Umar al-Khattab r.a berkata kepada Rasulullah SAW, “Ya Rasulullah, sesungguhnya engkau paling aku cintai melebihi segala sesuatu kecuali diriku (yang lebih aku cintai)”. Lalu Rasulullah SAW menegur Umar dan membetulkan ucapan Umar tadi dengan berkata, “Tidak ya Umar, katakanlah ‘Sesungguhnya engkau (Ya Rasulullah) paling aku cintai melebihi segala sesuatu termasuk diriku sendiri”. Lantas Umar mengubah ucapannya tadi dengan berkata, “Demi ALLAH ya Rasulullah, sesungguhnya sekarang aku mencintai engkau melebihi sesuatu termasuk diriku”. Maka Rasulullah menjawab, “Sekarang ini ya Umar (yang lebih tepat)”. (HR Bukhari daripada sahabat Abdullah bin Hisyam)


Dalam konteks hadis ini, ia menyatakan kepada kita mengenai kecintaan kepada Nabi SAW mestilah didahulukan daripada segala sesuatu, tidak kira dalam apa pun keadaan dan situasi.


Syarat ketiga ialah dengan mengikuti baginda - al-Ittiba’ (mengikuti). Ini berbeza dengan taqlid (mengikuti secara membuta tuli), kerana ittiba’ adalah mengikuti rasulullah berdasarkan kepada keterangan baginda daripada dalil, nas dan bukti yang disaring daripada al-Quran dan hadis. Inilah syarat-syarat yang wajib dipenuhi untuk realisasikan syahadah Nabi sebagai pesuruh Allah’.


ALLAH SWT berfirman yang bermaksud, “Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.” (Surah At-Taubah ayat 128)


Dalam ayat ini, ALLAH mengkhabarkan kepada kita bagaimana sifat atau sikap Nabi SAW kepada orang-orang mukmin. Inilah sifat beliau, iaitu menyayangi.


Justeru, kita sebagai umat Nabi SAW yang mencintai baginda, perlu contohi sikap ini iaitu menyayangi setiap orang yang beriman tanpa perlu memilih warna kulit dan parti politik. Inilah tanggungjawab dan kewajipan semua individu tidak kira siapa pun dia.


Untuk semua parti politik, perlu mendahulukan agama Islam itu sendiri sebagai dasar dalam meletakkan kecintaan dan berkasih sayang –al-wala’ wal bara’-. Ada pun ketika berurusan dengan orang kafir, sikap menghormati dan menjaga adab adalah sangat ditekankan tanpa menjangkaui batas pergaulan dan prinsip kita sebagai seorang Muslim.

No comments:

Post a Comment