Wednesday, 6 July 2011

DI TANGAN MANAKAH KITA AKAN MENERIMA KITAB AMALAN KITA?



Semasa bersembahyang di dunia ini manusia akan mengangkat tangannya dan bertakbir. Di hari kiamat pula, tangan-tangan manusia akan terangkat untuk menerima suratan amal (kitab catitan amalan) yang datang sendiri dari Arasy dengan kuasa Allah terus kepada tangan-tangan mereka.

Suratan amal itu ada yang diberi ke tangan kanan tuannya dan ada yang diberi ke tangan kirinya. Orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kanannya merasa besar hati dan berbangga dengan yang demikian sehingga ia menyeru orang-orang lain supaya membacanya; 

Allah S.W.T berfirman, "Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini!" Haqqah [19] .

"(Ingatlah) hari Kami menyeru tiap-tiap kumpulan manusia dengan nama imamnya; kemudian sesiapa diberikan Kitabnya di tangan kanannya, maka mereka itu akan membacanya (dengan sukacita) dan mereka tidak dikurangkan (pahala amal-amalnya yang baik) sedikitpun." Israa [71].

Sebaliknya orang yang diberikan suratan amalnya ke tangan kirinya merasa runsing hati dan merungut-rungut kerana keburukan nasibnya;

Allah S.W.T berfirman, "Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka dia akan berkata (dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku" Haqqah [25]

Tuesday, 5 July 2011

Cinta Dahulu Sebelum Kahwin

Ramai yang membincangkan perkara ini samaada bercinta dahulu sebelum berkahwin atau berkahwin dahulu baru bercinta. Ada orang bercinta lama, selepas kahwin berasa jemu pula. Mulanya pasangan masing-masing buat perangai. Ada pula yang menyarankan bahawa selepas kahwin baru bercinta, baru pecah tembelang pasangan masing-masing. Ini bererti  tidak ada kaedah khusus. Terpulanglah kepada jodoh masing-masing.

Contohnya pasangan orang tua dahulu. Masing-masing tidak kenal tetapi keluarga aturkan perkahwinan. Lepas kahwin kita lihat mereka kekal sampai berpuluh-puluh tahun dan orang tua-tua dakwa cara begitu lebih baik. Sebenarnya itu bukan formula tetapi kebetulan. Maklumlah tinggal di kampung, pergaulan bukanlah seluas atau semoden golongan yang tinggal di bandar. Jika berlaku pergaduhan, si suami tidak sampai hati menceraikan isteri, begitu juga si isteri jika minta cerai pun ke mana diri hendak dibawa?

Kedamaian hidup berumah tangga mesti dicatur sejak diawal perkenalan. Mesti diselidik latar belakang pasangan kala peringkat pemilihan pasangan. Sekiranya pihak lelaki atau wanita mengikut kriteria yang dianjurkan oleh Islam, Insya Allah akan ada kerukunan dalam perkahwinan. Namun jangan tersilap memilih, konon berkenan pasangan yang kuat agamanya. Kita hendaklah memandang dengan pandangan yang luas, bukan setakat sembahyang, puasa atau berzakat sahaja yang patut diambil kira. Antaranya hendaklah menjurus kepada nilai peribadi seseorang. Misalnya kesanggupan penerimaan kita kepada kerenah, gelagat atau tingkah laku pasangan. Kadang kala perangai lelaki membosankan dan tidak kurang ada yang menyejukkan, jika kita terima daripada awal maka redhalah sehingga akhirnya, kerana itulah suami atau isteri kita yang sebenar-benarnya.

Apa pendapat anda?

SIAPA TAHU PENILAIAN ALLAH



Siapa Tahu Nilaian Allah
Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya r.a katanya,:”Seorang lelaki memuji orang lain berhampiran Nabi s.a.w, lalu Nabi s.a.w berkata kepadanya:”Celaka kamu. Bererti kamu memenggal leher saudara kamu. (Kata-kata itu diucapkan baginda berulang kali.)“Apabila seorang kamu memuji saudaranya, seharusnya dia berkata:”Cukuplah bagi si fulan Allah sahaja yang menilainya. Tidak ada yang lebih berhak menilainya selain Allah Taala, sekalipun temannya tahu dia begini dan begitu.”(Muslim)

Huraian
Memang menjadi tanggapan ramai bahawa setiap amalan yang baik akan mendapat pujian dan ganjaran yang besar. Islam tidak menafikan akan hakikat ini tetapi Islam tidak membenarkan umatnya terlalu memandang tinggi akan kebaikan seseorang apatah lagi dengan memuji secara berlebih-lebihan.
Di samping itu Islam juga melarang kita daripada memandang remeh akan amalan yang kecil (kurang publisiti) yang dilakukan oleh seseorang kerana berkemungkinan dengan amalan yang dianggap kecil itu sebenarnya mempunyai pahala dan kedudukan yang lebih tinggi dan mulia di sisi Allah S.W.T.
Dalam konteks ini Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu memperkecil-kecilkan kebaikan walaupun sedikit. Sekalipun engkau menemui saudaramu dengan wajah yang berseri-seri” (Muslim).
Dalam setiap perbuatan manusia, niat sebenarnya memainkan peranan yang paling utama dan Allah S.W.T sahaja yang tahu akan niat seseorang. Namun begitu, sebagai orang yang beriman kita seharusnya membetulkan niat sebelum melakukan sesuatu.
Utamakan pandangan Allah daripada pandangan manusia kerana tidak semestinya kedudukan yang baik dan cemerlang di mata manusia itu bermakna bahawa kita juga adalah baik dan cemerlang di sisi Allah S.W.T.

Monday, 4 July 2011

Melayu kini lebih suka berdemonstrasi, lupakan nilai muafakat


MASYARAKAT Melayu tradisional sering beralas ketika berhujah dan memberi pendapat. Mereka tidak bertekak, apatah lagi menyanggah sesuatu pandangan dengan rusuhan dan menumpahkan darah. Suasana kekitaan menjadi tonggak muafakat hingga menerbitkan peribahasa 'bersatu teguh bercerai roboh'. Jarang Melayu mengamuk kecuali kes 'Sultan Mahmud mangkat dijulang' membabitkan amukan seorang rakyat yang isterinya dibunuh Raja dengan alasan remeh. 

Melayu juga pernah demonstrasi dalam dua kes bersejarah – penentangan dasar Malayan Union dan isu agama membabitkan peristiwa Natrah di Singapura. Dua kes ini membabitkan survival bangsa dan agama ekoran dasar penjajah yang tidak memihak kepada warga tempatan.
Kes Natrah pula memang dijangka tidak memihak kepada Melayu kerana keputusan mahkamah Barat yang mengambil pendekatan status gadis bawah umur bertukar agama dan berkahwin dengan Mansor Adabi. Apapun penentangannya, suara Melayu musnah di sebalik tabir undang-undang penjajah yang lebih kebal di Singapura.
Era selepas merdeka membabitkan kesan langsung peristiwa 13 Mei berjaya membentuk cara berfikir yang lebih radikal di kalangan sesetengah Melayu. Mereka bukan saja menggerakkan demonstrasi pelajar pada 1974 di Kuala Lumpur, bahkan berani secara terbuka menyanggah sesuatu pendapat yang dirasai tidak kukuh. 

Demonstrasi pelajar menjadi medan meluahkan pandangan yang di luar pemikiran arus perdana. Mereka berani berhujah, walaupun ada ketika dituduh diresapi ideologi komunis. 

Di kalangan ahli UMNO pula, mereka pernah menyaksikan tunjuk perasaan penyokong bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris yang membantah hukuman penjara bersabit kes rasuah. Ribuan Pemuda UMNO yang ketika itu dikenali Pemuda Tahan Lasak berkumpul di beberapa daerah. 

Mereka menentang Perdana Menteri ketiga, Tun Hussien Onn yang dianggap mempunyai agenda terhadap Harun. Mujur, tunjuk perasaan tidak sampai menjejaskan keselamatan negara. 
Keadaan sebaliknya berlaku menjelang 2 September 1998 apabila ribuan anak muda tunjuk perasaan dan secara terbuka bersuara lantang di jalanan. Mereka menggunakan ruang demokrasi untuk demonstrasi. Isu reformasi, korupsi, kronisme berbaur dengan pertuduhan di mahkamah. 

Gerakan jalanan menjadi tumpuan pihak tertentu di Barat, khususnya Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore yang menyifatkan ‘perjuangan rakyat berani’. Ketika ekonomi negara merudum ekoran mainan spekulator mata wang, gerakan anak muda mudah dikaitkan sebagai tali barut asing. Suara dan aksi mereka mendapat liputan meluas media antarabangsa yang berpangkalan di Australia, Hong Kong dan Singapura. Banyak drama dan intrig dihidupkan. Ada masanya, media bagai mahkamah yang mudah menghukum pihak yang tidak disenanginya. 

Demokrasi dan hak asasi menjadi mantera di media maya. Banyak yang dikatakan sebagai penyelewengan dan isu kemanusiaan bertebaran di laman web, portal berita dan blog. Ruang untuk menegakkan keadilan seperti yang diperjuangkan, semakin perlekeh oleh suara yang kononnya pejuang sejati. Betapa mudah perasaan awam dipermainkan hingga menyingkirkan fakta dan keadaan sebenar. 

Selepas berakhir Perang Dingin dan runtuhnya Tembok Berlin, gerakan hak asasi antarabangsa semakin akrab melihat dan menyemak isu demokrasi di dunia ketiga. Isu keadilan, kemanusiaan, tata urus pilihan raya menjadi semakan yang mengghairahkan. Rejim Suharto bukan saja tumbang kerana amalan kronisme dan ekonomi bobrok, juga isu kebebasan pilihan raya dan hak asasi di Timor Timur (Timur Leste), Aceh dan kepulauan Sumatera. 

Keadaan sama berlaku di Thailand dengan pelbagai jenama baju yang ditaja. Baju merah, kuning dan entah apa lagi, sering bergelut di jalanan yang akhirnya memberi kesan kepada ekonomi rakyat dan kestabilan keselamatan negara. Kesan langsungnya adalah kepada proses pembudayaan minda masyarakat; apakah tunjuk perasaan penyelesaian terbaik dalam menangani sesuatu isu? Alangkah mudahnya membakar perasaan orang ramai di jalanan, tetapi tidak semudah itu untuk menanganinya. 

Masyarakat Melayu tradisional mengutamakan muafakat dan perbincangan sebagai jalan penyelesaian. Tradisi Islam pula menerima muzakarah dan ijtihad sebagai ruang menyemak dan menyelesaikan sesuatu isu. Apakah unsur yang sudah lama diamalkan dalam masyarakat kita sudah lama berkubur? Apakah kepentingan siasah menjadi bahang api yang bakal membara dan kita semakin tidak rasional? 

Sunday, 3 July 2011

MULUT TEMPAYAN



SIAPA JUARA LELAKI ATAU WANITA?

Gemar berbicara mengenai hal peribadi orang lain samalah kategorinya dengan mengata, mengumpat, memburuk dan mengutuk. Walaupun ia tidak memberi sebarang kepentingan atau kerugian pada diri sendiri, sikap suka mengadu domba itu juga sama istilahnya dengan simpulan bahasa- mulut tempayan dan mulut murai.

Lazimnya, bukan perkara mustahil apabila simpulan bahasa itu dilabelkan di kalangan wanita. Hakikat yang sukar diterima apabilasikap berkenaan semakin menjadi-jadi di kalangan lelaki, baik bujang, sudah berkahwin sama ada tua atau muda. Sukar untuk melihat karakter lelaki yang gemar berbicara mengenai hal peribadi, pemasalahan serta menceritakan keburukkan orang lain kerana kononnya 'lumrah' lelaki dilahirkan dengan sifat dan sikap semula jadi yang lebih ringkas dan tidak suka membicarakan mengenai hal orang lain berbanding wanita.

Jangan sangka 'air yang tenang tiada buaya' kerana penampilan yang kurang menyerlah, lebih banyak berdian sebenarnya mempunyai karakter sebaliknya. Isu caci mencaci , hina menghina, ungkit mengungkit dan mengadu domba itu berlaku apabila timbulnya hasad dengki dan tidak selesa atas anugerah serta kesenangan orang lain.

Kaji selidik, baru-baru ini di kalangan lelaki dan wanita dan hasilnya mendapati lima daripada 10 mengakui golongan berkenaan juga memiliki sikap buruk berkenaan malah lapan daripada 10 wanita pula bersetuju bahawa mulut lelaki lebih dahsyat daripada wanita.

Kesannya, mengadu domba boleh mengakibatkan persengketaan dan perbalahan antara dua belah pihak. Sikap suka menyampaikan cerita atau menyampaikan daripada seorang seorang pihak lain boleh menimbulkan perasaan kurang senang dan perselisihan faham.

Jika dulu ramai lelaki melabel wanita 'mulut tempayan' atau suka mengadu domba, kini lelaki juga tidak terkecuali. Sehubungan itu, wanita tidak perlu bimbang kerana simpulan bahasa itu dimiliki sesiapa saja ada rasa tidak puas hati dan ingin mendapatkan perhatian.

Mereka yang gemar mengadu domba mahir dalam provokasi dan mencungkil sesuatu isu. Modus operandi kononnya untuk berkongsi masalah dan pandangan tetepi masalah peribadi orang lain yang dicanangkan.

PERHIMPUNAN HARAM TINDAKAN BINASAKAN MASYARAKAT, NEGARA KHUTBAH JUMAAT (PART 2)

CONTINUE ...........


Dalam mencapai matlamat, golongan ini akan melakukan perhimpunan haram, berarak, berkumpul untuk bertindak ganas, merosakkan harta awam, melanggar undang-undang malah sanggup mencederakan pasukan keselamatan.


Lebih malang lagi, golongan ini berlindung atas nama perjuangan hak asasi manusia, perjuangan politik dan meniru keganasan yang berlaku di negara lain bagi mengugut pemerintah supaya memenuhi tuntutan mereka.

Mimbar ingin menegaskan, tindakan golongan pengkhianat seperti ini tindakan zalim dan haram umat islam mengikutinya kerana ia boleh mencampak manusia dalam kebinasaan, mendatangkan keburukan serta kesusahan kepada masyarakat.

Perhimpunan haram kekebiasaannya mencetuskan pelbagai insiden buruk. Pertembungan dua pihak bertelagah mencetuskan lebih banyak perbalahan akhirnya mengakibatkan pertumpahan darah.

Justeru, sebagai umat Islam yang cintakan agama, bangsa dan negara, kita dituntut untuk tidak terbabit dalam segala bentuk perhimpunan yang boleh merosakkan agama dan keamanan negara.Soal ancaman ini perlu diambil perhatian semua pihak kerana membabitkan keselamatan negara.

Jika perkara ini tidak dipatuhi, maka hancurlah keutuhan bangsa yang boleh memusnahkan negara. Ulama besar mazhab al-Shafie, Abi Ishak al-Juwayni berkata: Haram melakukan perhimpunan yang mendatangkan kemudaratan kepada manusia dan negara.

Keamanan dan keharmonian negara dipelihara dan dipertahankan oleh seluruh warga negara. Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan sebahagian daripada ibadat dan tanda jihad di jalan ALLAH.


Oleh itu, sebagai orang beriman, marilah kita mengekalkan keamanan dikecapi selama ini. Tindakan yang memporak-perandakan umat islam dan negara diancam hukuman berat oleh ALLAH.
"SEBAGAI UMAT ISLAM YANG CINTAKAN AGAMA, BANGSA DAN NEGARA, KITA DITUNTUT UNTUK TIDAK TERBABIT DALAM SEGALA BENTUK PERHIMPUNAN YANG BOLEH MEROSAKKAN AGAMA DAN KEAMANAN NEGARA  !!  '' 



PERHIMPUNAN HARAM TINDAKAN BINASAKAN MASYARAKAT, NEGARA KHUTBAH JUMAAT (PART 1)

KHUTBAH JUMAAT (PART 1)



SEJARAH ketamadunan manusia menunjukkan nikmat keamanan memberi sumbangan besar kepada kemakmuran dan kesejahteraan dunia. Keamanan bererti kita bebas daripada sebarang ancaman yang mengugat keharmonian hidup.

Kita bersyukur negara aman dan damai walaupun ketika ini menghadapi beberapa isu yang boleh mengancam keselamatan negara. Dengan keamanan, kita dapat melakukan urusan kehidupan tanpa rasa takut, gerun dan dengannya boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada rakyat serta negara.

Firman ALLAH bermaksud '' Dan ALLAH memberikan misalan; sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat ALLAH itu, maka ALLAH merasakan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan.''(Surah an-Nahl, ayat 112)

Memelihara keamanan dituntut dalam kehidupan tanpa mengira anutan agama,bangsa atau keturunan. Nabi Ibrahim semasa meneroka pembukaan Makkah sebagai pusat ibadat dan Tanah Suci mendoakan Makkah dikurniakan ALLAH keamanan.

Kita juga menyaksikan rugi dan malangnya negara yang dilanda kekacauan, persengketaan dan perpecahan. Negara itu bukan saja ketinggalan dari segi kemajuan dan pembangunan, malah keselamatan sentiasa terancam.

Justeru, Islam menolak gerakan mengganggu keamanan negara pelampau.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: '' Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama. '' (Hadis riwayat Ahmad)

Mutakhir ini, golongan pelampau menggelarkan diri Gabungan Pilihan Bersih dan Adil (BERSIH) kian membimbangkan. Golongan ini asasnya memperjuangkan kepentingan individu atau fahaman tertentu tanpa mengambil kira sensitiviti dan kepentingan awam.

CONTINUE PART 2